Karangan Ambang Kedewasaan Belia Malaysia

Dewasa ini, masyarakat masih pesimis terhadap golongan belia. Mat Rempit, bohsia, remaja lari dari rumah dan kes pembuangan bayi selalu dipaparkan dalam media perdana. Dalam rentetan pendedahan negatif ini, muncul beberapa kelompok belia yang menampakkan kematangan dan berfikiran luar dari kotak. Masyarakat umum tidak tahu dan terlepas pandang daripada mengenali golongan belia ini.

Berdasarkan kajian Tahap Perkembangan Psikososial Erikson, keadaan ini berlaku berkemungkinan kerana tahap remaja (adolescent ) yang berumur 12-19 tahun rata-ratanya mengalami proses pencarian identiti atau mengalami krisis identiti. Secara umumnya, tanggapan masyarakat sering mengaitkan pembentukan psikologi remaja dengan punca permasalahan sosial remaja sejajar dengan kajian Erikson tersebut. Malah Erikson menyatakan apabila remaja mencapai tahap belia dewasa (young adult ), iaitu dalam lingkungan 20-34 tahun, barulah para belia mula menyesuaikan diri mereka untuk membuat perhubungan dan bekerjasama dengan usaha kuat dalam satu perhubungan (selalunya dalam perkahwinan)

Tetapi peredaran zaman sekarang menunjukkan sebaliknya. Remaja sekarang cepat dewasa. Kebanyakan daripada mereka sudah mula berkumpulan ketika berumur 11 tahun, baik dalam kumpulan formal atau tidak formal, berbentuk positif atau negatif. Malah mereka sudah menubuhkan persatuan, kegiatan dan perkumpulan yang luar daripada strata akademik ataupun pekerjaan. Bahkan, kesemua kumpulan ini wujud lebih awal dalam diri remaja,sementara ikatan perkahwinan berlaku lebih lewat. Golongan muda ini mula dikenali sebagai Zipi , belia aktivis, remaja DIY, remaja punk, remaja underground dan pelbagai lagi gelaran yang meriah tumbuh bagai cendawan.

Mengikut sejarah, hal ini bukanlah suatu fenomena luar biasa. Sejak kebangkitan kebangsaan Melayu pada awal 1906, sudah wujud perkumpulan Kaum Muda. Segolongan anak muda lepasan universiti dari Timur Tengah yang kembali ke tanah air untuk memperkembang fahaman dan ideologi mereka berkenaan agama dan bangsa. Pada ketika itu, berlakulah persengketaan dalam kalangan Kaum Tua terhadap revolusi perjuangan Kaum Muda. Seterusnya, generalisasi darah panas dan sikap memberontak belia dikaitkan dengan era rock-and-roll , hipi, dan pelajar universiti berdemonstrasi 1973/74.

Mungkin umum tidak mengetahui bahawa pada tahun 80-an hingga akhir 90-an, muncul beberapa kumpulan belia yang menelusuri falsafah punk dan DIY yang bermula di England. Sikap agresif menolak konsumerisme dan kapitalisme ini melahirkan golongan belia yang membentuk Pertubuhan Bukan Kerajaan dan kegiatan kemasyarakatan secara sukarelawan yang tidak pernah meminta dana daripada kerajaan untuk menggerakkan aktiviti mereka, berjuang untuk masyarakat dan hak kemanusiaan.

Antara yang terkenal ialahFood Not Bombs Kuala Lumpuryang bermula pada 2000. Food Not Bombs merupakan sebuah kumpulan aktivis yang mempunyai cawangan di seluruh dunia, memperjuangkan hak masyarakat untuk menolak penggunaan senjata dan mempromosi keamanan dunia. Food Not Bombs yang mempunyai pelbagai cawangan di serata Malaysia. Mereka amat berpengaruh dalam aktiviti menderma untuk golongan miskin dan tersisih. Wakil mereka dipanggil oleh para belia di Bandung, Indonesia untuk bekerjasama membentuk Food Not Bombs Bandung yang masih aktif sehingga sekarang. Malah beberapa kumpulan aktivis, seperti Network of Solidarity Collective di Kelantan, Human First Collective di Terengganu, Kasih Kolektif di Sabah, dan Sampah Masyarakat di Lembah Klang telah mula disedari. Malah komuniti maya mereka secara blog, Facebook, Myspace dan Twitter meningkat dan dikenali dari hari ke hari.

Oleh sebab itu, Dewan Masyarakat dalam talian memberi laluan kepada tiga tokoh belia ini dalam membicarakan wawasan dan perjuangan mereka untuk membina belia Malaysia yang lebih matang dan berdikari. Wawancara tiga tokoh, iaitu Micheal Teoh,Shobana Nairdan Khairun Nisa, bukan sahaja sebagai pelengkap Rencana Utama yang disiarkan dalamDewan Masyarakat Ogos 2010. Malahan, sebagai bukti bahawa para belia kita sudah boleh berdiri sendiri, sudah tercatat namanya dalam sejarah antarabangsa, dan jauh lebih matang daripada apa yang selalu ditanggapi oleh masyarakat umum.

Mereka bukan lagi diibaratkan sebagai kecil-kecil cili api, tetapi sebagai anak muda di  jendela yang melihat dunia berada dalam genggaman mereka.

Dipetik dari http://dwnmasyarakat.dbp.my/

Categorized in: